Bekas timbalan perdana menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa bekas majikannya, Datuk Seri Najib Razak menyahut saranan Majlis Raja-raja Melayu supaya kerajaan menyelesaikan dengan segera siasatan berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Muhyiddin berkata Raja- raja Melayu tidak akan mengeluarkan kenyataan berkenaan 1MDB jika ia bukan isu yang melibatkan kepentingan rakyat.
“Apabila DYMM Raja Raja bertitah mengenai isu 1MDB, ini menandakan 1MDB isu yang amat besar pada hemat baginda sekalian dan membayangkan kebimbangan mereka tentang kesan negatif kemelut 1MDB terhadap rakyat jelata dan negara.
“Maka pihak yang sewajarnya menjunjung titah baginda sekalian ialah perdana menteri selaku ketua kerajaan.
"Tanggungjawab menyelesaikan isu ini akhirnya terpikul di bahu perdana menteri sendiri,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook, hari ini.
Timbalan presiden Umno itu berkata, Najib mesti memastikan siasatan terhadap 1MDB oleh agensi berkaitan dijalankan secara telus, adil dan berkecuali tanpa sebarang gangguan atau campur tangan daripada mana-mana pihak.
Katanya, apa yang lebih penting ialah jika hasil siasatan mendapati terdapat pihak yang melanggar undang-undang, maka tindakan perlu diambil dengan kadar segera tanpa rasa takut dan pilih kasih.
“Perkembangan siasatan dan pendakwaan berhubung skandal 1MDB amat mendukacitakan.
"Di satu peringkat kerajaan kelihatan serius untuk menyelesaikan kemelut ini, tetapi kemudiannya perkembangan proses siasatan kelihatan perlahan dan hampir tergendala.
"Sepertinya ada tangan-tangan ghaib yang sengaja mahu menutup kesalahan pihak tertentu," katanya.
0 comments:
Post a Comment