Selepas 30 tahun, legasi Sheila Majid diraikan dengan meriah. Beberapa lagu hits nyanyiannya menjadi inspirasi untuk sebuah filem yang baharu diterbitkan. Filem muzikal Sinaran yang menampilkan pelakon dan krew yang terdiri dari Malaysia, Singapura dan Indonesia turut mengambil ilham dendangan lagu beliau.
Ia juga menandakan sebuah permulaan baru untuk peminat Sheila Majid kerana kedatangan filem itu juga mereka dihadiahkan dengan album runut bunyi, Sinaran yang mengandungi sembilan buah lagu.
Album ini mengandungi lagu klasik seperti Sinaran, Di Dalam Emosi ini, Warna, Fikirkan Dahulu, Cinta Jangan Kau Pergi, Antara Anyer Dan Jakarta serta sebuah lagu bonus iaitu Tua Sebelum Waktu yang disusun semula untuk filem muzikal berkenaan yang diarahkan oleh sutradara prolifik, Osman Ali. Album ini juga menampilkan dua buah lagu baharu, Tanpamu dan Sinaran Cinta.
Lagu di dalam album runut ini dipilih oleh komposer berwibawa seperti Adnan Abu Hassan, Thomas Cherian Joseph, Majid "Ă–die Agam" Imran, Indra Lesmana, Mohd Nor Mukhlis, Ryan Kyoto, Mohamed Nawani Johan dan Md Ali Mohd Yusof.
Kedua-dua buah lagu baharu yang terdapat dalam album ini digubah oleh Kevin Chin dan Shahrom Rashid.
Sinaran Cinta yang menjadi lagu tema filem ini adalah single yang mempamerkan semangat Sheila Majid dalam memberikan sinaran dan cinta kepada peminat setianya. Selepas muncul dalam filem terakhirnya Ali Setan pada 1985, Sheila muncul sekali lagi di layar perak untuk filem Sinaran.
Sinaran menampilkan Lisa Surihani sebagai pelakon utama, dibantu pelakon Indonesia, Evan Sanders. Turut membintangi filem ini adalah Izara Aisyah, Syarif Sleeq dan Nadiah M Din. Kelima-lima pelakon ini membawakan watak anak muda yang bertemu di kolej dan bersama-sama menempuhi hari yang penuh dengan nilai kehidupan, cinta, persahabatan, cita-cita, dan pengkhianatan.
Filem Sinaran yang diedarkan GSC Movies, akan menemui peminat di pawagam pada 26 November 2015 di Malaysia, Singapura & Brunei.
0 comments:
Post a Comment